Search This Blog

Loading...

Friday, March 19, 2010

PROGRAM KAUNSELING BERFOKUS


SALAMUALAIKUM....

Tiga bulan telah pun berlalu pada tahun ini, tahun 2010. Tahun yang penuh dengan cabaran buat saya sendiri. Azam saya pada tahun ini adalah untuk meningkatkan pelaksanaan sesi kaunseling, berbanding perlaksanaan program. Mudah-mudahan, dengan banyaknya sesi kaunseling akan membantu saya lebih memahami para pelajar saya, dekat dengan mereka, mengenal pasti masalah mereka dan dapat mentarbiah mereka bersama-sama dengan saya. Semoga Allah membantu saya dalam menjalankan tugas dan menyebarkan dakwah untuk anak bangsa yang saya kasihi. Amiin...


Oleh sebab itu, pada tahun ini, saya mengkhususkan tugas saya kepada pelaksanaan Program Kaunseling Berfokus yang melibatkan beberapa program penting dan juga sesi kaunseling. Jika dilihat kepada laporan pada tahun ini, saya agak kurang menjalankan program-program yang besar. Hal ini demikian kerana, program yang saya jalankan adalah melibatkan kerjasama dengan unit-unit yang lain dan melaksanakan program dalam kelompok yang lebih kecil seperti sejumlah pelajar atau sekelas sahaja. Oleh itu, masa yang diambil tidaklah menggugat Pengajaran dan Pembelajaran yang sedang berlangsung di dalam kelas. Ketiadaan guru tertentu memberikan saya peluang untuk mengadakan program. Sebagai contoh, jika Cikgu A tiada, maka kekosongan yang ada saya akan gunakan untuk menjalankan satu taklimat akademik bersama dengan pelajar. Program yang besar juga melibatkan kos yang banyak, penyediaan yang panjang dan remeh temeh serta memakan masa. Penumpuan ke atas pelajar juga berkurang kerana mereka ramai. Respon yang diterima juga biasanya akan berkurangan. Bukanlah saya tidak bersetuju tetapi, perlu dikurangkan dan penumpuan ke atas kualiti berbanding dengan kuantiti. Program yang kecil menjimatkan kos, masa lebih efektif, lebih dekat dengan pelajar/klien dan lebih mudah mendapatkan kerjasama daripada mereka berbanding program besar.




Selain itu, saya juga boleh menjalankan sesi kaunseling apabila melibatkan waktu matapelajaran Sivik & Moral serta subek Pendidikan Seni. Jadi, secara tidak langsung, program yang saya jalankan juga adalah melibatkan jawatankuasa dan panitia yang lain. Sebagai contoh, menjalankan program Melukis Poster Anti Dadah pada masa Pendidikan Seni dengan kerjasama Guru Panitia Mata Pelajaran Pendidikan Seni. Contoh yang lain adalah, Program Anti-Vandalisme dengan kerjasama Guru Panitia Mata Pelajaran Sivik dan Moral. Selain menjimatkan masa, ia juga menjimatkan kos. Secara tidak langsung, program bagi 2 unit yang berlainan dapat dijalankan serentak pada masa yang sama.




Perlu diketahui bahawa pelaksanaan Sesi Kaunseling Individu di sekolah adalah sangat penting. Sekurang-kurangnya 2 sesi kaunseling individu perlu dijalankan setiap hari. Namun begitu, ia juga bergantung kepada keperluan dan keadaan semasa. Oleh itu, sebagai langkah memudahkan kerja Guru Bimbingan & Kaunseling yang sedia banyak, maka, Sesi Kaunseling Indivudu dan Kelompok boleh diterapkan ke dalam Program Kaunseling Berfokus yang menjadikan 2 tugas saya berjalan serentak pada masa yang sama. Yang pentingnya adalah, laporan, analisis sesi yang telah dijalankan. Saya ambil contoh di sini, saya menjalankan sesi kaunseling individu yang melibatkan kes disiplin. Maka, kesimpulannya, saya telah menjalankan sesi kaunseling individu untuk hari tersebut. Kemudian, data-data pelajar yang berkaitan dengan profail dirinya, maklumat salah laku pelajar, rekod disiplin akan saya ambil dan merekodnya sebagai data awal bagi menjalankan Program Kaunseling Berfokus. Program Kaunseling Berfokus agak mirip dan menyerupai analisis headcount akademik pelajar. Dan Program ini juga bersifat kajian di sekolah sebenarnya. Melalui, data yang dimiliki, pihak sekolah, khususnya saya sendiri sebagai Guru Bimbingan & Kaunseling akan mula menjalankan rawatan (Sesi Kaunseling) yang seterusnya untuk meningkatkan prestasi disiplin pelajar tadi. Pelbagai kaedah akan digunakan dan direkod di dalam fail Program Kaunseling Berfokus kategori Disiplin sebagai langkah ke arah penambahbaikan prestasi disiplin pelajar itu tadi. Sebagai contoh ; Program High-Risk, Program Tazkiyah An-Nafs, Sesi Kaunseling Individu & Kelompok. Sebarang perubahan atau tingkah laku pelajar yang melibatkan sahsiah pelajar direkodkan. Di akhirnya, dapatan yang diperolehi akan dikumpulkan dan dianalisis. Jika secara keseluruhannya, prestasi disiplin pelajar menurun, maka Program Kaunseling Berfokus dikatakan berjaya menurunkan kadar masalah disiplin tersebut. Jika meningkat, kajian dan perbincangan yang melibatkan pentadbir sekolah akan dijalankan lagi.




Begitu juga dengan Program Kaunseling Berfokus Kategori Akademik. Data-data akademik pelajar akan direkodkan setelah para pelajar dikelompokkan mengikut kategori Cemerlang, Sederhana dan Potensi. Daripada kelompok tersebut, baik saya sendiri sebagai kaunselor mahupun guru-guru lain akan menjalankan program yang berbentuk penumpuan ke arah para pelajar tersebut. Sebagai contoh, kelas tambahan, Seminar Teknik Menjawab, Program Motivasi dan sebagainya. Semua aktiviti, program dan sesi kaunseling akan direkodkan sebagai kaedah pelaksanaan peningkatan prestasi akademik pelajar. Prestasi pelajar akan diukur melalui pencapaian akademik pada setiap kali peperiksaan sehinggalah kepada peperiksaan sebenar seperti PMR dan SPM. Sekian dulu. Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment

Alunan Suara Hati

Journal of School Counseling

Loading...